'

~ 'uRag dRrulug' adalah dialek pedalaman Ulu Tembeling di Pahang bererti 'Orang di Ulu'- Walaupun terdapat loghat pertuturan berbeza diantara beberapa kampong @ Gusai, Mat Daling, Kg. Bantai, Kuala Sat serta Kg. Pagi namun memahami antara satu sama lain dan merasakan bahawa kami tetaplah satu. Blog satira ini membawa suara anak daerah terpencil dan terpinggir ke persada dunia, - serius dan sinis ~

mutiara kata UD:

mutiara kata UD:
bukan aku hendok, bukan aku mintok...
dunieq tork tau maluq..

Friday, September 30, 2011

YB URAG, YB KITEQ





Lirik Lagu Diari YB Kita Yang Di-Ubahsuaikan oleh UD;

Bangun tengahari
Tamu jangan peduli
Baik ke kedai kopi
Bincang agih-agih subsidi
Sambil-sambil sarapan
Dah ada pulak yang datang
Kaum kerabat orang kanan
Nak mintak surat sokongan
Jam baru pukul 8
YB malas ke kawasan
Balik rumah YB terlentang
Pejabat pun YB tak hiraukan
Terdengar bunyi kompang
Ayam itik bertempiaran
Rombongan YB masuk meminang
Harap jangan dihampakan
Pada waktu tengah hari
Ada pergi jemputan kenduri
Ini YB mesti pergi
Tunjuk muka untuk dapat undi
YB buat  sibuk-sibuk
Orang sakit YB tak jenguk
Hai teruk ke tak teruk
Takut poket YB kena seluk
Ketika awal petang
Ada satu sidang
YB tak boleh tak datang
Takut nanti kerusi hilang
Sebelum senja ke padang bola
YB seronok  sampaikan piala
Sebelum belia kecewa
YB sumbangkan jersi saja
Bila malam tiba
Berkaraoke  jadi agenda
Kalau YB tak bersedia
Kena nyanyi mungkin ternganga
Habis berkaraoke
Kelab Malam YB singgah
Bukan sekadar menjengah
Konon nak hilangkan masalah
Walau dah lenguh badan
YB tak hiraukan cawangan
Di tanya orang harapan
Apakah ada yang nak lawan
Lewat malam di gerai tepi jalan
YB ‘memungkor’ kawan-kawan
Sayangnya dah tak berapa nak layan
Sambil tu kena lah belanja makan
Sewaktu YB balik
Hantu Pocong pun rasa pelik
Isteri sendiri pun dah tak larat celik
Anak-anak pulak dah lama tergolek
Rimas  sebab YB tak mandi
konon belek itu dan ini
Kemudian picit-picit dahi sendiri
Cari peluang nak berbini lagi
Bila dah dinihari YB tertidur dikerusi
Esoknya kena sembunyi
Takut ada tamu menanti

“Assalamualaikum YB..”


.....di jeput urag Kola Sat bejuget, urag laen jangan aga, hehehehe!!!!...Kerayanth orihh!!

Thursday, September 29, 2011

CALON BERPOTENSI DI DUN PULAU TAWAR



Syahadan sebermula, diriwayatkanlah ceritera mengenai pilihanraya yang akan datang tidak lama lagi. Adapun dari ramalan dan spekulasi yang tersebar dibawa angin, PRU13 nanti sangat membimbangkan kita kerana Jerantut bukan lagi kawasan yang selamat untuk UMNO.

Dengan Ku Lan menarik diri dan tidak lagi akan bertanding akan membuatkan Tuan Ibrahim akan berani melanggar kerusi Parlimen. Calon Parlimen lalu Dr.Hamzah khabarnya akan meminggir dan mengharap menang mudah dengan mengandaikan Wan Amizan masih bertahan di DUN Tahan.

Kerusi Pulau Tawar masih panas bagi pembangkang kerana ianya maih jadi rebutan diantara Pas dan PKR. Pas menunjukkan sikap tamaknya dengan kononnya yakin akan menang disitu sedangkan bagaimana pula dengan kerusi untuk PKR kerana DAP tentu sekali sangat berminat dengan DUN Damak dengan meletakkan harapannya kepada Cikgu Koh.

Kemungkinan juga Pulau Tawar akan jadi petandingan 3 penjuru sekiranya perbincangan antara Pas dan PKR masih belum dapatkan kata putus. Tidak mustahil juga adanya calon bebas yang akan berusaha untuk  kacau daun disini nanti. Blogger CMK memang mendapat sokongan kuat dari saudara-maranya disana. Jika beliau bertanding, pasti bukan mudah untuk siapa saja calon dari UMNO menewaskannya kelak.

Jika UMNO melatakkan calon lama ditempatnya dahulu makan strategi ini tentu akan memerangkap BN sendiri. Pembangkang sudah dapat mengukur kekuatan dan kelemahan calon-calon berkenaan. Blog WZWH secara tidak langsung telah memberikan pembangkang peluru-peluru untuk menembak UMNO semula jika calonnya Tok Bomoh Keri di Pulau Tawar dan Ahli Nujum Diraja yang telus mata serta bijaksana dan bijaksini di Tahan lagi. 

Kerana itulah barisan pemain-pemain BN mestilah dari mereka yang baru yang masih belum diketahui kekuatan dan kelemahannya, yang masih putih bersih. Mereka bukanlah dari kalangan calon 'recycle'.  'Winnable Candidate' bukanlah bermakna mereka dari kalangan AJK yang ada tambahan pula yang ada tidak menyerlahkan keupayaan dan kepimpinannya melainkan mereka ini hanyalah seumpama 'burung belatuk' sajalah adanya.

Ame kalau Engku Wan Samsuri betanding de DUN Tahan, kamiq yakin sangat ke menang nyer oihh! Mende dieq urag behimoh amat. Mulek kelakuan nyeq...tarok larh memungkor macap hark yang sedieq neh. Kumeq sukong amart oih!!


Wednesday, September 28, 2011

PERIHAL CALON PRU JERANTUT





Syahadan sebermula, adapun blog Kutukan Dewata blog pencacai nombor wahid ADUN Tahan selain blog WZWH menulis mengenai calon yang layak bagi PRU13 di DUN Tahan dan Pulau Tawar adanya. 

Adapun menurut ceriteranya calon yang layak bagi DUN Tahan adalah Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil manakala bagi Pulau Tawar pula adalah Ahmad Daud, tetapi tidaklah pula diriwayatkan mengenai calon Parlimen Jerantut.  Mungkinkah seperti mana dalam filem P.Ramli apabila Ibrahim Pendek melempar buah dadu dan meminta orang-orang meneka tetapi tidaklah dibenarkan akan mereka itu meneka nombor 2 kerana nombor 2 adalah dia yang punya, hehehe. Begitulah gamaknya, Parlimen tidak disebut siapa calon kerana itu adalah 'reserved' untuk bos dia sahaja. Nampak gayanya gelaplah harapan Tok Bomoh Keri untuk jadi calon parlimen.

Siapakah yang boleh percaya pada kenyataan bodoh Kutukan Dewata bahawa imej seseorang itu tercalar kerana perkhidmatan cemerlangnya? Kononnya dia dicemburui oleh musuh dan kawan juga kerana kecemerlangan prestasinya yang melonjak. Siapa yang boleh percaya dan siapa yang sebenarnya peduli?

Adapun yang boleh merosakkan dan mencalarkan imej seseorang adalah keburukkan mereka sendiri. Didalam blog WZWH sendiri beliau menulis bahawa ada beberapa cawangan UMNO membawa usul undi tidak percaya kepada  ADUN Tahan, itu dari mulut dia sendiri bukan dari sebaran fitnah orang lain, maka jika ini adalah fitnah sudah tentulah pemfitnahnya adalah WZWH sendiri. Kita pun tidak pasti dia dipihak yang mana, kerana konon untuk membela ADUN Tahan tetapi perbuatannya selama ini banyak membawa keburukkan kepada imej ADUN Tahan itu sendiri. Mungkin inilkah namanya duri dalam daging atau sokong bawa rebah.

Ilmu WZWH lebih tinggi dari bosnya sendiri kerana dia mendapat anugerah sijil asli sedangkan bosnya hanya mendapat sijil yang dibeli, perihal ini satu Malaysia sudah tahu. Hatta oleh yang demikian maka tidak usahlah menyalahkan orang lain atas nasib malang dirinya sendiri kerana itu adalah tempahan takdirnya.

Kesilapan yang dilakukannya adalah terlalu ghairah untuk mencapai kepuncak, terlalu gelojoh merebut dan merampas apa yang ada didepan mata. Sejarah juga mencatat keburukkan, baca sini.
Rakyat tidak pertikaikan kelulusannya dari Universiti luar negara yang mana sekalipun, tetapi apa sumbangan yang dapat diberikan dalam membela nasib rakyat. Dalam mencari kekayaan janganlah hendaknya merebut hak-hak rakyat didalam kawasan sendiri atau bersaing bersama rakyat.

Saya tidak ingin bercerita panjang mengenai ini kerana bagi saya dia sudah tidak ada lagi dalam senarai bagi calon DUN Tahan. Mungkin benar bahawa dia terpaksa menangis dan mencium bontot Dato' Nan untuk mendapat tempatnya, bagaimanapun mencium bontot pun masih sukar baginya kerana untuk DUN Tahan dia bukanlah 'winnable candidate'.

Adapun sangatlah 'sahaya' bersetuju apabila Kutukan Dewata menyebut nama Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil sebagai calon DUN Tahan kerana dia adalah 'winnable candidates' sebenarnya. Orangnya berhemah dan berbudi pekerti serta sering menjaga personalitinya dan kerap kelihatan sebagai mendahulukan rakyat dalam banyak hal. Jika namanya tidak disingkirkan dari senarai calon, maka rakyat DUN Tahan akan gembira menerimanya dan ini juga bolehlah dianggap sebagai imbuhan bagi mengenang jasa orang tuanya kepada masyarakat di Ulu Tembeling khususnya.

DUN Pulau Tawar, Norzari Yahaya seorang pesara guru dilihat lebih berhemah dan lebih layak untuk mengembalikan kenangan UMNO BN zaman dahulu dimana wakil rakyatnya menganggap tugas dan tanggungjawabnya sebagai satu perjuangan. Jikapun bukan dia, mungkin Ketua Wanita UMNO kerana beliaulah yang selama ini kelihatan banyak mengadakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang khususnya ditumpukan terhadap wanita. Beliau bolehlah diibaratkan sebagai pemeggang panji-panji UMNO yang mengawalnya supaya tidak condong atau terus rebah.

Ahmad Daud adalah antara calon untuk Parlimen. Berpengalaman menjaga dan merancang pembangunan Jerantut dalam perkhidmatan awam akan memudahkannya dalam tugas menjaga parlimen Jerantut kelak. Cuma, dari awal lagi beliau harus jauhi dirinya dari di 'kelong' oleh langau-langau politik. Jangan biarkan sahabat-sahabat lamanya (dari DUN Pulau Tawar) yang sering menungganggi ahli-ahli perlimen terdahulu menungganginya juga. Jika itu berlaku, dia juga akan dijatuhkan oleh rakyat dari DUN Tahan pula.

Jika inginkan calon muda dan berpegang teguh pada hukum Allah, Ahmad Shah Jamlus adalah orangnya tanpa sebarang kerguan lagi. Dia adalah sehelai kain putih dan jika dicalonkan maka memenangi Parlimen Jerantut dengan lebih mudah. Segalanya telah tertulis. Telah tersurat dan tersirat. Bahawa hanya Allahlah yang akan menentukkannya mengikut kehendaknya.

Kepada blogger Kutukan Dewata dan WZWH @ Sibertrooper DUN Tahan, duduklah diam-diam sambil menyimpan gigi dan gusi masing-masing, bahawa segalanya sudah terlambat dan sudah berakhir. Akhirul kalam, beerhentilah dari menyalak!


Kuat amart bebungik yok? Lapor lagig gamok nyeq! Ishhh! Kerayantah!

Monday, September 26, 2011

PERIHAL 'WINNABLE CANDIDATES' JERANTUT


Gambar hiasan: Satu pertandingan gusti orang-orang kecil.


Walau apapun, PRU semakin hari semakin hampir, walaupun entah bila dan tiada siapa yang benar-benar mengetahuinya melainkan PM sendiri. 

PM dah jelaskan bahawa calon pilihan beliau adalah 'winnabble candidates', atau dalam kata lainnya adalah mereka yang berpeluang untuk menang. Maka kesemua Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian pun merasakan bahawa merekalah orang itu, dan jika diletakkan orang lain maka akan kalahlah BN khususnya UMNO dalam PRU akan datang nanti. Demikianlah besarnya harapan dan besarnya mimpi orang-orang politik ini, sehingga kadang-kadang mereka lupa untuk melihat diri mereka sendiri dan lupa melihat cermin setiap pagi.

Inilah masanya mereka yang manaruh harapan itu untuk mempergakan diri mereka supaya dapat dilihat oleh MB dan bahkan PM sendiri bahawa merekalah calon itu.

Jika dulu dalam Hikayat Malim Deman diriwayatkan bahawa; ...yang capek datang bertongkat, yang buta meraba-raba, yang pekak tertanya-tanya, yang kurap tergaru-garu....maka kini bolehlah kita katakan; ...yang rongak menempah gigi, yang botak memakai 'wig', yang buncit mengusap perut, yang pendek berkasut tinggi, yang kepala berkudis bersongkok tinggi, yang sengkek berkereta merc ...demikianlah diibaratkannya betapa meluap-luap keinginan masing-masing.


DUN Damak yang kononnya akan ditandingi oleh UMNO, si gemuk buncit dah lama berangan-angan jadi calon. Ketua Puteri si anak ikan mengidam DUN Tahan. Pulau Tawar konon untuk Zulkarmi sebab Tok Bomoh nak bertanding Parlimen. Saudagar 'Onta' yang sudah tak tahan di Tahan khabarnya hendak ke Parlimen juga.

Jika benar bagai yang kelihatan dalam 'air sirih' Tok Nujum Diraja, maka Tok Bomoh tentu akan berentap dengan Saudagar 'Onta' bagi kerusi Parlimen nanti. Kedua-dua mereka sekarang ini sudah kaya-raya dan banyak mengumpul kekayaan. Tentu tidak bimbang jika berlaku pertarungan dalam lobi melobi. 

Apa agaknya akan terjadi nanti? NKW ada juga berangan-angan, KPW walaupun gelap namun impiannya tetap berwarna-warni. Yang selalu sakit dan kencing manis tentu tidak akan disenaraikan sebab PM tak hendak ambil risiko PRK banyak kali. Yang banyak cawanganpun rasanya tentu bukan kegemaran Rosmah dan tak selari dengan konsep Satu Malaysia

Calon-calon PRU nanti semuanya terdiri dari orang-orang baru yang masih putih dalam usaha untuk memutihkan imej BN dan UMNO. Mereka juga bukan dari AJK sedia ada kerana tiada yang menonjol sebagai pemimpin yang berwibawa. Malangnya kerana sejarah UMNO Jerantut telah mencatat bahawa tidak ada barisan pemimpin pelapis untuk masa depan kerana semuanya sudah ditanam dan dibenamkan dari awal lagi.

Selain itu, sekurang-kurangnya 2 kerusi akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru, sesuatu yang asing bagi kerusi-kerusi di Parlimen Jerantut. 

Urag de uluq mimang sukeq kala tukor hark baru, bior hark mulek siketlah, mintok-mintok nye, yok? Hehehe!

Sunday, September 25, 2011

PERIHAL ORANG-ORANG HILANG


Gambar hiasan


Hendak tak hendak beberapa hari lalu terpaksa juga mengikut 'bos besar' sertai program BNBBC menyerang Selangor. Program berlangsung selama 3 hari 2 malam. Pesertanya adalah kesemua wakil-wakil rakyat BN. Tujuannya adalah untuk mendekatkan rakyat dengan wakil-wakil rakyat bagi menawan kembali negeri Selangor. Berbagai acara dan program dijalankan bagi menawan semula hati rakyat Selangor menjelang PRU13 nanti. 

Selain dari PM, Tun Dr. Mahathir mantan PM juga turut menghadiri program berkenaan, mencurah khidmat baktinya memberi motivasi kepada wakil-wakil rakyat supaya akan dapat memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat dikawasan mereka kelak seterusnya memenangi PRU akan datang.

Saya cuba juga mencari dalam senarai nama peserta-peserta untuk mengetahui dimanakah wakil-wakil rakyat dari daerah kita berada. ADUN Damak - tak datang. ADUN Pulau Tawar - tidak hadir. ADUN Tahan - hilang dalam perjalanan. Mungkin mereka fikir untuk apa dekatkan diri dengan rakyat Selangor kerana mereka nanti akan bertanding di Jerantut? Mungkin mereka juga lupa bahawa kemahiran mendekatkan diri dengan rakyat itu juga mesti diasah. Pelajari bagaimana reaksi rakyat Selangor yang negerinya sudah ditawan pembangkang tentu akan menimbulkan keinsafan dan memberi banyak pengajaran. Namun pemimpin kita tidak akan mahu belajar dan selagi tidak terhantuk maka mereka tidak akan tengadah.

Khabarnya ADUN Tahan dalam perjalanan ke program berkenaan. Namanya sudah minta didaftarkan, bagaimanapun bayangnya tidak juga kelihatan sehingga program berkenaan berakhir. Tidak mungkin saya silap melihat dan mengenalpasti yang mana 'dia' dan yang mana satu bayang-bayang, maklumlah bukan banyak sangat beza diantara kedua-duanya terutama ketika malam. Mungkin juga ada orang yang tersesat ditempat yang ada kerlipan lampu-lampu yang berwarna-warni sepertiamana masa muda-muda dulu, mana kita tahu?

Saya teringat akan kisah-kisah lama,  perihal  Hikayat Unta, Lamma, Lambu dan Khinzir.  Bagaimana kisah unta yang dijanjikan untuk korban bagi orang-orang kampong telah berubah menjadi lembu kerana perjalanan yang jauh dari negeri padang pasir. Mungkin juga kerana perjalanan yang jauh ke Selangor (jika berjalan kaki) telah membuatkan orang berkenaan telah menjadi kurus, bagaimanapun warnanya tetaplah tidak berubah menjadi lebih cerah melainkan tetaplah hitam juga adanya. 

Syahadan, arkian mungkin jugalah 'orang' yang telah berubah menjadi kurus itu sudah tidak dapat dikenali lagi dan mungkin jugalah mata yang melihatnya jadi tersilap pandang dengan menyangka bahawa itu adalah 'tuan Dollah Al-Kicap' juga adanya oleh kerana terkeliru pandangan matanya. Wallahualam!

Akhirul kalam, tidaklah dapat sahaya melelapkan mata pada malam itu kerana asyik memikirkan apakah mungkin tuan saudagar yang hitam dan gemuk pendek itu boleh berubah jadi sebagaimana rupa tuan Dollah Al-Kicap yang juga hitam tetapi kurus dan lebih tinggi.

Teringat juga akan sahaya akan saudagar dari Pulau Tawar, yang duduk sama rendah dan berdiri tetaplah tak sama tinggi malahan pendek itu adanya. Khabarnya sudah untung berniaga dan kembali semula menjadi tabib yang kaya raya adanya.


Lame sangat dorh oih akuq tarok menuleh, kesian ke urag kapong endok mendengor ke suroh bekenaan wakil dimeq tuh! Sibok amart aku oihh!!