tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan
Kata orang tua-tua; berjagung-jagung dulu sementara padi masak. Tapi masa ni dah tak ada orang buat padi paya atau pun padi huma. Dah tak dapatlah kita nak berjagung-jagung sambil bertanam labu dan timun tahun. Empin sudah tentulah tidak dapat nak kita jamah hasil dari usaha sendiri. Dari menebas menebang ke membuat ‘dangau’, menugal, menarik ‘geredang’ menghalau burung, manahan ‘tuar’ dan mengail ‘bagoh’, merumput menggunakan ‘kiut’, ‘menuai’ ‘mengirik’ dan akhirnya ‘menumbuk’ dengan ‘lesung antan’ dan kadang-kala gunakan ‘lesung hindik’.
Kadangkala makan ubi bakar cicah sambal hitam, atau cicah ‘misan tebu’. Makan emping dengan kelapa kukur atau campur dengan gula kabong. Rebus labu pun sudah jadi satu hidangan lazat. Kadang-kadang dibuat pengat. Zaman ini segala itu telah hilang dan hanya ada dalam kenangan kita yang akan kita bawa bersama bila kita meninggalkan alam ini. Jadi apa yang akan kita tinggalkan untuk anak cucu kita nanti?
Tiada bekalan letrik dan air. Pelita minyak tanah menerangi malam dan selalunya cahaya bulanlah yang menerangi menerjah dari celah-celah rekahan dinding kulit kepong ataupun dinding buluh. Mandi disungai beramai-ramai meredah dingin pagi. Berkelubung bagai hantu pocong mencangkung ditepian sungai kerana segan akan kedinginan airnya. Ketika sungai biasanya masih berkabus petanda udara masih segar dan tidak tercemar. Air sungai jernih kerana tiada kegiatan pembalakan haram yang didalangi oleh pemimpin kita sendiri.(Aku tak tuduh Dompok, tapi kalau dema nak tuduh tu aku tak kisah lah)
Selesai mandi, kita tidak lupa membawa air ke rumah untuk basuh kaki sendiri sambil membantu emak untuk buat air masakan. Kalau dapat ‘tin gelen’ peliklah yang amat sangat terutama kalau dapat yang diperbuat dari plastik. Biasanya hanya membawa bekas dari ‘labu kayu’ atau ‘tempurung kelapa’ yang dinamai ‘sekoi’ Hanya yang benar-benar hidup di kampong saja yang tahu dan alami semua ini. WZWH belum lahir lagi, kalau dah lahirpun mungkin sedang main taik. Dia pun besar di bandar. Dia bukan orang kampong dan bukan ‘orang di hulu’. Kerana itu dia tidak dapat menghayati perasaan sayangkan kampong halaman dan tanah air seperti kita.
Ke sekolah berkaki ayam dengan seluar dan baju comot. Anak kampong sejati, hanya lebih baik sedikit dari anak orang asli masa kni.. Baru mengenal pensil dan buku. Baru mengenal tinta dan kalam. Tapi masih sempat lihat dan gunakan papan batu. Sekarang anak-anak gunakan ‘laptop’ dan menguasai IT. Dunia sudah dihujung jari.
Balik dari sekolah mandi di sungai. Main terjun dari dahan ara di gigi air. Kadang-kadang memancing ikan, menjala, memedap menghanyut apong, merawai, menahat taut, tajor, atau ada kalanya menahan lukah. Yang selalu ‘melukah’ hanya nyonya yang mencangkung di pasar-pasar menjual sayuran.
Kalau musim tengkujuh, mak akan selalu naik darah sebab pakaian yang hanya ada sehelai dua itu selalunya basah. Bermain hujan dengan lastik di leher. Yang jadi mangsa adalah burung-burung yang kesejukan. Hujan sepanjang hari membasahkan bulu burung-burung. Waktu itu ‘burung’ kami baru berbulu pahat. Baru-baru lepas bersunat. Adik-adik masih belum dapat di ’calat’, nampak saja Tok Mudim tentulah larinya ‘mencuat-cuat’.
Bulan Desember datang lagi. Musim pejor. Kini lapisan ozon menipis. Pelepasan karbon yang banyak. Negara maju tidak patuhi ‘Protokol Kyoto’. Udara tercemar. Bagaimana nanti kalau benar-benar jadi projek nuklear WZWH ni? Tambang malang lagilah anak cucu kita nanti. Air hujan pun sudah berasid. Tapi kita sudah tidak bermain hujan diluar. Bukan kerana takut emak marah, tapi takut bini marah. Musim pejor begini bini bukan main manja. Kalau anak masih kecil, bolehlah kita tidurkan cepat. Seruan Tun Mahathir mesti disahut. Kita rakyat yang taat. 20 juta itu sasaran dan matlamat. Mungkin ini saja agaknya jasa kita pada negara.
Oihhh! Cenerong Ular, Banir dan Ri Pengor. Hah! Wan Bederol juga. Kalau malam ini hujan lagi, aku kena tarik selimut sampai ke kaki. Bini tak balik lagi, melawat anak dan menantu. Tinggal sesorang ni, musim hujan dan sejuk deme pun tau apa maksud hati aku. Aku menjenguk keluar tingkap sambil menopang dagu. ...Awuuuuuuuuuuuuuuuuu!!!!!



