'

~ 'uRag dRrulug' adalah dialek pedalaman Ulu Tembeling di Pahang bererti 'Orang di Ulu'- Walaupun terdapat loghat pertuturan berbeza diantara beberapa kampong @ Gusai, Mat Daling, Kg. Bantai, Kuala Sat serta Kg. Pagi namun memahami antara satu sama lain dan merasakan bahawa kami tetaplah satu. Blog satira ini membawa suara anak daerah terpencil dan terpinggir ke persada dunia, - serius dan sinis ~

mutiara kata UD:

mutiara kata UD:
bukan aku hendok, bukan aku mintok...
dunieq tork tau maluq..

Thursday, August 19, 2010

TARIAN INDUNG - TRADISI LISAN ULU TEMBELING

Lepas hajeq pejupaan kiteq malap tu, lepas kiteq burok-burok...Wan B wayat ke kamiq suroh kamiq letork lagug hark yang berkenaan Ulu Temeling...kamiq dorh letok dorh. Harap-harap dimeq sukeq larg lagug yang kamiq pilih iniq.

Lepas tu puas jugeq kamiq bileq-bileq bukuq de dalap khutub khanah cariq maklumat bekenaan Tarian Indung, letih jugeq larh kamiq buat krije membaceq dan menulih semuleq. Ini kamiq tules de bawoh inih mengenai Tarian Indung, sastera lisan hark asli detepat kiteq. Kamiq harap dimeq semua buleh larh berasa banggeq dengan tepat kiteq ni;



Pengenalan:

Dalam bidang antropologi, konsep tradisi lisan yang lazimnya dikaitkan dengan konsep-konsep ‘folk society’ dan ‘folklore’, didefinasikan sebagai sebahagian dari pengetahuan budaya atau budaya tradisional sesuatu masyarakat yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain secara lisan (Seymour-Smith,1986:212)

Tradisi lisan sesuatu masyarakat itu juga merupakan sumber maklumat bukan saja tentang sistem sosial bukan dan budaya semasa tetapi juga sejarah dan asal usul masyarakat tersebut.

Lazimnya tradisi lisan yang dipertuturkan kepada generasi berikutnya merupakan cerita-cerita, lagu, pantun dan sebagainya yang lebih dikenali sebagai sastera lisan. Dengan menganalisis tradisi lisan ini kita boleh memahami masyarakat itu dengan lebih mendalam lagi.

Bagaimanapun konsep folk society yang dikaitkan dengan konsep tradisi lisan ini kian tidak popular lagi didalam bidang antropologi kerana ia memberi konotasi bahawa masyarakat yang mengamalkan tradisi lisan adalah masyarakat yang mundur dan buta huruf.

Ahli antropologi lebih selesa menggunakan konsep tradisi lisan apabila mencirikan masyarakat yang mereka kaji, tambahan pula kadar buta huruf semakin mengurang yang memberikan kesan kepada tradisi lisan terutamanya dalam bentuk sastera dan kreatif.

Masyarakat celik huruf tidak lagi memerlukan khazanah budayanya melalui lisan kerana perkara-perkara yang dianggap penting telah boleh ditulis dan dibukukan. Impak dari globalisasi juga terutamanya teknologi maklumat telah juga menyebabkan tradisi lisan menjadi ‘obsolate’.

Perkembangan penyiaran radio dan tv telah menghasilkan masyarakat yang telah dimanjakan dengan kecanggihan ‘audio-visual’ teknologi moden sehinggakan teradisi lisan dalam bentuk asalnya sudah nampak usang dan pramitif. Dengan itu peranan tukang-tukang cerita atau penglipur lara dalam tradisi lisan ini juga telah menjadi tidak penting lagi. Dalam erti kata lain, zaman tradisi lisan telah hampir berakhir. Segala bentuk budaya didalam tradisi lisan itu akan hapus sekiranya tiada usaha dijalankan sama ada untuk mendokumentasikannya ataupun mengumpulkannya didalam bentuk tulisan tinggalan khazanah budaya bangsa.


Tarian Indung:

Tarian Induang adalah satu bentuk kesenian atau budaya ekspresif yang terdapat di Ulu Tembeling. Walaupun diberi nama Tarian Indung namun ia sebenarnya adalah gabungan dua elemen seni, nyanyian dan tarian yang membentuk kepada satu lagi perlakuan sosial yang utama dan paling penting iaitu gotong royong.

Didalam bentuk asalnya Tarian Indung adalah cara orang dahulu kala Ulu Tembeling menggembelingkan hiburan kepada aktiviti kerja mereka. Dengan itu aktiviti kerja adalah lebih penting dari aktiviti-aktiviti yang lain. Sambil berkerja mereka akan menghiburkan diri dengan menyanyi dan berpantun. Seperti biasa mereka akan diusik dan mengusik sambil berbalas-balas pantun. Dengan demikian kerja yang meletihkan itu tidak akan membosankan.

Tarian Indung adalah bentuk hiburan yang dilaksanakan oleh masyarakat Ulu Tembeling semasa mereka merumput padi di sawah atau huma. Aktiviti merumput ini dianggap aktiviti kaum perempuan oleh itu dalam aktiviti Tarian Indung ini adalah juga dari kalangan kaum perempuan. Mereka merumput menggunakan alat yang dipanggil ‘kiut’ atau ‘keri’.

Lagu-lagu yang dinyanyikan adalah berdasarkan perasaan dan flora dan fauna setempat. Tarian dimulakan oleh penyanyi utama yang akan berada ditengah-tengah dengan dikelilingi oleh penyanyi-penyanyi lain. Lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi utama akan disambut sebagai korus atau ‘jong dondang’ oleh penyanyi-penyanyi lain sambil mereka menghayun ‘kiut-kiut’ mereka didepan penyanyi utama dan memulakan gerakan-gerakan tarian mereka mengelilingi penyanyi utama tadi.

Pada akhir lagu penari-penari itu akan mencapai ‘kiut’ masing-masing dan dari posisi membongkok membawa ‘kiut’ tersebut ke atas sambil bersorak. Perlakuan ini dilakukan bagi setiap lagu yang dinyanyikan.

Terdapat 38 buah lagu didalam rangkaian Tarian Indung ini. Jumlah itu adalah jumlah yang dirakamkan oleh sekumpulan penari-penari Tarian Indung yang masih aktif di Ulu Tembeling semasa kajian ini dilakukan. Judul-judul lagu dalam rangkaian Tarian Indung tersebut adalah seperti berikut;
1.     Anak Indung
2.     Kubang
3.     Yanakidin
4.     Dendang Sayang Adik
5.     Buai Limau Manis
6.     Dendang Selendang Cantik
7.     Burunhg Belatok
8.     Bagai Denak
9.     Cantik Manis
10. Buai Dendang Sayang
11. Timang Landak
12. Yaradin
13. Raja Muda
14. Buai Baki
15. Kak Inon
16. Kak Ham Weh
17. Buai Pinang
18. Timang Burung
19. Sungai Cabang
20. Buai Ladong
21. Kapal Tujuh
22. Buai Weh
23. Tengku Panglima
24. Rangkoh Dayong
25. Buailah
26. Lancang Kuning
27. Puteri Bongsu
28. Rentak Kuda
29. Burung Pipit
30. Ya ya
31. Buai Allah
32. Bandan Judi
33. Dodoi
34. Anak Cina
35. Buai Ayun
36. Berkayuh
37. Dendang Dari Dahulu
38. Pulau Indung

Setiap persembahan Indung mestilah dimulakan dengan lagu Anak Indung dan diakhiri dengan lagu Pulau Indung. Dipercayai kegagalan kegagalan melaksanakan peraturan ini akan menyebabkan berlakunya malapetaka kepada masyarakat setempat. Diantara lain-lain pantun Anak Indung adalah seperti berikut;

Tabik di hulu tabik di tengah
Tabik di air tabik di tanjung
Minta tabik orang punya tanah
Kami hendak mengambil Indung

Serindit tidur di dahan
Ia terbang ke hujung buluh
Tabik encik tabik tuan
Kami ambil puteri bertujuh

Petik-petik bunga kangkung
Mari kupetik bunga dahlia
Minta tabik orang punya kampong
Kami hendak bersuka-ria

Antara senikata lagu Pulau Indung pula adalah;

Nak dulang ku beri dulang
Dulang berisi susu mentah
Indung nak pulang kuhantar pulang
Mari kuhantar dengan pantun sepatah

Timun betik timun belulang
Mari kupetik dengan jari manis
Balik encik balik tuan
Balik dengan senyum manis

Nak dulang kuberi dulang
Dulang berisi antah bertih
Nak pulang kuhantar pulang
Mari kuhantar dengan gajah putih

Timun betik timun belulang
Mari kupetikkan pucuk buluh
Balik encik balik tuan
Mari kuhantar ke Gunung Tujuh

Nak dulang kuberi dulang
Dulang berisi pucuk sungkai
Nak pulang kuhantar pulang
Mari kuhantar ke puncak mahligai

Yalon kacang yalon
Ambil sungkai tikamkan
Berkampong kawan berkampong
Habis selesai kita balik

Lepas beremas-remas pula
Emas sekupang dalam cerana
Lepas bermaaf-bermaaf pula
Maaf seorang maaf semua

Kumpai hulu kumpai hilir
Kumpai melata diatas batang
Seorang ke hulu seorang ke hilir
Sama-sama tolak belakang

Gulung tilam ditengah halaman
Tinggi mahligai datuk keramat
Anak Indung terlepas dari tangan
Alhamdulillah Anak Indungku selamat

5 comments:

azizan -melayurayadaily said...

urag drrulug,

presentasi yang sangat menarik dengan menulis semula siratan budaya masyarakat kita masa silam. Satu pengamatan yang bermakna kepada pengkaji budaya masyarakat yang beradab dan halus hati nuraninya. Sebenarnya kita kaya dengan warisan seni budaya yang patut dihidangkan semula kepada masyarakat moden ini tq

Cawan Tembaga said...

salam urang drulug,

mcm ni baru berul org di ulu, paham sejarah dan budaya ulu tembeling, bukan mcm wzwh tu

Anonymous said...

Tok 4 Kuala Aur. Molek juga tuh.. sekali sekala ubah topik.Masa akuq sekolah rendah dulu aku pernah menyaksikan persembahan Tarian Indung ni....masa keberangkatan Sultan Pahang ke ulu kalau tak pun masa kedatangan pemimpin negara,adalah dua/tiga kali. Masa tu tork tau mendapun. Bebudak lagi....Selain dari itu semasa di sekolah menengah akuq pernah membaca cerita-cerita rakyat yang ditulis Pak Zek (Zakaria Hitam)berdasarkan cerita lisan urag tua-tua Ulu Tembeling. Buku ni zaman 60an hingga 70an.Salah satu buku yang aku ingat "Ranja dan Ranjir" sebab cerita ni arwah aki aku yang jadi penceritanya.Mungkin boleh dibukukan semula??.....

uRag dRrulug said...

Hahaha, mulek...mulek sangat cadangan ong tu. Kiteq kena men-dokumentasikan segala macam sastera lisan hark yang urag tueq dulu wayat padeq kiteq, pasai tu larh akuq sukeq sangat kalo dimeq semueq ade belog dan bulihlarh dimeq masing-masing tules, jangan dor harap ke kamiq su-rag diriq. Natiq lepas rayeq aku nork buat kursus menules belog, senang semua urag buleh adeq belog. Hark nak membahan dupork....eh...dompok dan wz buleh, hark yang nak tukes pasai tanoh air juge buleh....yok?

Ri~Kuala Pengor said...

Tahniah yg tak ternilai..terharu, bangga dengan tulisan Urag Drullug..sedih, hampa sebagai generasi muda, kami tidak tahu menahu yg masyarakat Ulu tembeling adanya tarian ini...tetapi kekayaan dan kehalusan budaya ini seperti mustahil di pertahankan dan di baik pulihkan kerana rakyat ulu tembeling di butakan dgn kekayaan wang ringgit. Ulu tembeling bukan sahaja hilang kebudayaannya malahan hilang kekayaan hutannya....